Monday, July 30, 2018

10 Cara Tingkatkan Keyakinan Diri.

Assalamualaikum
Hai semua !
Image result for CONFIDENT

Minggu lepas ada permintaan seorang rakan Instagram yang nak Syira kongsikan tips untuk meningkatkan keyakinan diri.

Jadi untuk entry kali ini, Syira nak kongsikan serba sedikit mengenai diri Syira dan bagaimana Syira yakin diri. Mungkin boleh guna ayat terpaksa yakinkan diri atau paksa diri untuk yakin diri sebabnya sampai bila-bila pun ada je perasaan takut dan tidak yakin tu..hehehe..

Sebenarnya Syira bukanlah seorang yang berkeyakinan tinggi. Selalu je ada rasa takut, tak yakin mampu buat ke tak dan selalu je overthinking. Tapi sehingga ke hari ini Syira masih mampu atasi semua tu?

Bagaimana?

Nak asah keyakinan diri ni tak mudah. Akan ambil masa yang lama. Sebenarnya dulu Syira seorang pelajar yang pendiam. Syira sangat pemalu masa sekolah rendah. Syira tak suka sertai aktiviti. Tak suka menonjol. Cikgu suruh ke depan jawab soalan pun taknak walaupun jawapan dah ada di kertas, hanya tulis semula je di papan putih tapi tak nak bangun guys. Memang pemalu teruk la dulu sampai mudah takut dan taknak pergi sekolah.
Tapi Syira mula ok sikit sejak berlakon untuk ujian bahasa inggeris masa tingkatan 2, masa tu beranikan diri la sebab berlakon berkumpulan kan dan markah dikira pula :P

Lama-lama Syira mula minat berlakon dan masa tingkatan 5, Syira dan kawan-kawan kelas berlakon di hadapan semasa perhimpunan bersempena minggu bahasa inggeris. Mungkin sebab Syira minat kot, dan Syira yakin sebab ramai orang ada dengan Syira maksudnya, tak la berlakon seorang masa tu.. tu yang lebih mudah Syira buang rasa malu. Masa tu hanya ada 1 pilihan je “Naik pentas dan buat yang terbaik atau naik pentas dan malukan diri”
Hanya dua pilihan je..jadi apa yang korang akan pilih?

Masa tingkatan 5 juga, Syira mengetuai pasukan kawad kaki perempuan. Syira memang minat kawad kaki dan terpilih menjadi ketua platun merupakan satu batu loncatan untuk Syira meyakinkan lagi diri sendiri bahawa syira mampu. Masa tingkatan 6 pun Syira mengetuai pasukan kawad kaki hingga menjadi ketua platun terbaik peringkat daerah kinta utara dan kami berjaya ke peringkat negeri. Tapi masa peringkat negeri tu tak menang la..hehe..

Syira ni jenis kalau orang tanya nak ke tak nak jawatan, Syira selalu tolak sebab selalu rasa tidak yakin tetapi kalau dah dipilih, itu tanggungjawab dan Syira nak tak nak kena buat kerja. Masa tu Syira fikir, "kalau tak cuba sekarang, bila lagi? orang lain boleh je". 

Image result for yakin diri

Kalau nak cakap satu cara mudah untuk tingkatkan keyakinan diri tu memang tak ada, tetapi ada beberapa cara yang boleh korang buat mengikut kesesuaian diri masing-masing :


1. KENALI KELEBIHAN DAN KEKURANGAN DIRI.

Setiap orang MESTI ada kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Korang perlu sedar perkara ini dan cuba manfaatkan kelebihan diri tu. Contohnya korang ada bakat mewarna. Apa kata korang asah bakat tu dan sertai pertandingan sebabnya secara tidak langsung, bakat korang tidak akan hilang begitu sahaja dan korang juga akan kenal ramai orang baru. Masa tu la sikit-sikit keyakinan diri akan mula terbentuk sebabnya walaupun korang rasa bakat korang sekadar mewarna, sebenarnya tu bakat yang orang lain tidak ada. Semua orang juga MESTI ada kekurangan dan orang perlu sedari, akui dan terima kekurangan tu dulu. Orang lain tak bercakap pun tentang kekurangan kita, kenapa kita nak takut dan malu  Bila kita tonjolkan kelebihan diri, insyaAllah secara tidak langsung, kita akan maju ke depan. Jangan bandingkan kelebihan orang lain dengan kekurangan diri kita sebab itu perbandingan yang tidak adil. Sepatutnya kita jadikan kelebihan orang lain sebagai pemangkin semangat untuk menjadi lebih baik. Cuba lihat dan belajar cara untuk mengasah kemahiran. Tiru cara mereka berulang kali kerana proses berulang ini akan menjadikan kita seperti mereka bahkan lebih baik.


2. SENARAIKAN PENCAPAIAN DIRI DAN LIHAT MASA SILAM KITA.

Tanya balik diri, “selama ini kita mampu, kenapa tidak kali ini?” Kita dah hidup berapa tahun? cuba kira. Ingat kembali apa pencapaian kita selama ini. Semua orang ada pencapaian. ADA, bukan tidak ada Cuma kita selalu anggap apa yang kita capai itu biasa sahaja sebab tu kita tidak yakin diri. Biasa la tu tetapi jangan sampai jadi tidak bersyukur pula ya. Yakin diri untuk diri bukan sekadar untuk dipuji. Kita ni kadang kala dah yakin dengan apa yang kita nak buat, nak pilih dan nak laksanakan tapi tiba-tiba bila orang lain beri kata-kata negatif, menjatuhkan semangat kita, mula mempersoalakan kebolehan kita, kita mula percaya bulat-bulat apa mereka kata hingga kita lupa siapa kita dan kita juga mampu. Kita memang hidup di dunia bersama mereka dan itu tidak boleh diabaikan tetapi kenapa perlu menjatuhkan diri demi memuaskn hati orang yang tidak kenali diri kita sebaiknya? Mungkin mereka bimbang dengan pilihan kita, tetapi kita perlu lihat kembali apa yang telah kita capai dan apa yang kita mahu. Kita juga hebat tetapi diri kita sendiri melemahkan semangat yang ada. Pencapaian dah banyak tapi masih rasa hidup sia-sia, kenapa? Siapa lagi nak yakin dengan diri kita andai kita sendiri tidak tunjuk yang kita yakin.


3. BERLATIH BERULANG KALI DAN BUAT PERSEDIAAN AWAL.

Persediaan awal memang penting. Nak yakin jawab peperiksaan, kena buat persiapan. Belajar lebih awal. Bila kita faham, kita lebih yakin nak jawab dan tidak takut kalau jawapan kita salah.
Nak yakin semasa pembentangan, perlu buat persediaan awal. Berlatih cara bercakap, nada suara dan cuba berlatih ikut masa yang diperuntukkan supaya bila hari pembentangan sebenar, kita sempat sebut semua maklumat penting dan tak la gelisah apabila ada maklumat yang tidak sempat nak kongsi. Kemudian, cuba teka soalan-soalan apa bakal ditanya semasa pemtangan, siapkan jawapan.
Persiapan Awal ni sangat penting. Kalau korang jenis akan gelabah bila semua kelam kabut, tak bersedia, hati-hati dan sedar diri. Bersedia lebih awal dengan nota dan berlatih. Kita tidak yakin sebab tengok orang lain tampak lebih bersedia, bercakap lebih lancar dan berkeyakinan, sedangkan mereka juga sama seperti kita. Mereka takut tetapi mereka bersedia lebih awal untuk tutup rasa takut.


4. PANDANG AUDIENS/ MATA KETIKA BERCAKAP

Apa yang Syira selalu buat, sebelum pembentangan/ bagi ucapan atau buat persembahan, lihat semua orang di hadapan kita dulu. Ambil masa beberapa saat untuk tenangkan diri dan lihat audiens. Sebaiknya pandang mata orang yang kita sedang bercakap, jika masih malu, boleh mula dengan melihat bahagian hidung dahulu. (ni pun satu tips supaya orang yang sedang bercakap dengan kita tu tidak dapat kesan yang kita ni segan..ehhee)


5. TENANGKAN DIRI DAN KAWAL RIAK WAJAH.

Orang lain tidak tahu pun kita tidak yakin melainkan kalau kita yang tunjuk kepada mereka. Tenangkan diri dan kawal riak wajah. Lagi orang nampak kita gelisah, semakin mereka cuba menguji. Andai kita tidak mampu kawal, kita akan semakin lemah dan mungkin boleh menangis dan tidak mahu berdepan dengan orang lain lagi. Lama kelamaan kita merasakan bahawa kekurangan itu tidak mampu diubah. Itu yang akan membentuk fahaman negatif dalam minda kita secara tidak langsung. Hanya kita yang tahu kekurangan kita dan jangan malu. Kekurangan boleh diperbaiki. Usaha dan usaha lagi sampai berjaya. Semua orang bermula sebagai beginner sebelum menjadi pro. Jadi izinkan diri kita untuk menjadi beginner juga. :)


6. BERPAKAIAN KEMAS DAN SESUAI MENGIKUT KEADAAN.

Pakai elok sebab kalau orang pandang2 pelik, kita pula malu kan.
Selalu rancang nak pakai apa dengan lebih awal, terutama apabila berhadapan perkara-perkara penting seperti pembentangan dan temuduga. Nak jumpa orang, hadir mesyuarat pun perlu kemas dan cantik tau. Pakaian yang baik bukan hanya buat orang lain tenang pandang kita tetapi kita juga akan lebih selesa dan yakin diri. Jika pakaian atau warna tertentu membuatkan korang rasa lebih berkeyakinan, jangan lupa pakai!


7. TINGKATKAN ILMU DAN KEMAHIRAN 

Ramai yang tidak yakin diri sebab kurangnya ilmu dan kemahiran. Tengok orang lain lebih pandai, kita malu. Tengok orang lain boleh memasak, menjahit, bertukang, lagi la kita rasa malu. Kita tidak yakin nak bercakap dan berhujah kerana kurang yakin dengan maklumat yang kita ada. Kita tidak yakin dengan jawapan kita sebab tu takut nak jawab soalan. Kita tidak mahir buat kerja sebab tu malu dengan orang lain. Lama-lama kita rasa SEMUA ORANG LEBIH BAIK dan sampai bila kita nak biarkan rasa ini ditanam dalam diri? Mungkin apa yang kita lihat itu kelebihan mereka, dan mereka tidak tunjuk kekurangan diri. Mesti ada, MESTI. Jadi, kita ni sebaiknya buat sama seperti mereka. Manfaatkan kelebihan dan tambah lagi ilmu.


8. BERDIALOG POSITIF DENGAN DIRI

Suara-suara dalam kepala dipenuhi dengan kata-kata negatif seperti “takut”, “sukar”, “tidak boleh”, “gagal”, “susah”, “masalah”, “risau”, "nanti apa orang cakap" dan banyak lagi. Apabila kita sering fikirkan perkara-perkara yang negatif dalam kepala kita maka, lama kelamaan, ia akan menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri dan keyakinan diri akan terganggu. Cuba berdialog dengan diri sendiri melalui kata-kata positif. Setiap kali terfikir sesuatu yang negatif, ubah! Setiap kali terfikir perkataan negatif, cari lawannya dan sering gunakan yang positif sahaja dalam minda. Tidak lama nanti, kita juga akan sering menjadi positif dan mendapat keyakinan dalaman diri. 


9. UBAH PERSEKITARAN KITA

Kat-kata orang lain, dan mungkin juga pengalaman diri sendiri sebelum ini sering membuatkan kita terhenti dalam berimpian. Kita mahukan sesuatu tetapi kita tunggu dahulu. Kata-kata orang lain kadang kala melemahkan kita untuk berjaya. Mereka seperti tidak yakin dengan kita dan mengapa kita biarkan kata-kata itu menjadi nyata. Buktikan kepada mereka, bahawa apa yang mereka kata itu tidak benar. Memang betul, adakalanya sukar untuk kita mengubah persekitaran kita. Mungkin kenalan dan keluarga sedia ada tidak memberi sokongan kepada diri kita, membuatkan diri terasa kurang yakin. Kita tidak boleh elak semua, tetapi, sekurang-kurangnya kita cuba mengurangkan gangguan negatif dari luar. Baik atau buruk, orang tetap akan bercakap. Lebih baik kita fokus perbaiki diri. Kita ada hidup yang perlu dijaga dan disara. Andai mereka membantu, tidak mengapa. Andai mereka hanya mengata, buat apa nak percaya ? Semakin banyak kita biarkan faktor luar pengaruhi kita, sampai bila-bila kita tidak akan berjaya dan capai rasa puas dengan diri kita.


10. BERANI AMBIL RISIKO

Kalau bukan sekarang, bila lagi?
Kalau orang lain boleh, kenapa tidak aku?
Rasa nak buat sesuatu buat je. Jangan takut gagal kerana orang yang takut gagal ini orang yang nak dilihat sempurna sahaja di mata manusia. Gagal adalah permulaan untuk kita berjaya. Selagi kita belum mula, kita tidak tahu kita boleh buat atau sebaliknya. Mula dan baiki kesilapan hingga KITA BERJAYA !

Image result for CONFIDENT
Keyakinan datang daripada tindakan. Keyakinan tidak akan kita peroleh sekelip mata. Tindakan yang berulang akan mengukuhkan lagi keyakinan. Pengulangan dalam usaha akan buat kita lebih tahu bagaimana nak atasi masalah kita. Masalah yang wujud ni la punca kita tidak yakin jadi atasi dahulu masalah. Siapa nak atasi? DIRI SENDIRI. Tak mula, tak yakin. Dah mula, keyakinan akan datang dan hadir lebih banyak lagi. Lebih baik gagal mencuba daripada gagal kerana tidak mengambil peluang.

Jadi, antara semua cara ini, korang pilih mana yang mampu dibuat dan dirasakan sesuai dengan diri korang. Kenapa Syira selalu sebut mengikut kesesuaian dan kemampuan diri masing-masing? Sebab manusia ini unik. Penerimaan setiap orang tidak sama jadi perlulah buat mana yang baik mengikut kesesuaian dan kemampuan diri masing-masing.

Banyak lagi cara yang boleh korang cuba.
Sejujurnya tidak mudah untuk YAKIN DIRI tetapi kita boleh berusaha.
Yakinkan diri bahawa KITA BOLEH, KITA MAMPU, & KITA AKAN BERJAYA !

Sunday, July 22, 2018

Syira Lokman dalam Kampus Uols.

Assalamualaikum
hai semua ! :)


Alhamdulillah.
Allah beri rezeki untuk kita berkongsi rezeki. 
Baru sahaja kongsikan tips belajar buat pembaca blog, hari ini diberi kejutan dari Kampus Uols.

Syira menulis blog dan menulis buku sebab minat. Dulu masa belajar, Syira juga pernah menjadi penulis untuk blog orang lain dan jual pakaian, maklum la.. nak cari duit..hehee..Sekarang Syira lebih fokus kepada blog sendiri dan menyiapkan manuskrip terbaru. Doakan ya :)

Syira tak hebat mana, tapi ramai yang baik hati Allah temukan untuk tolong Syira sepanjang hidup ini. Tajuk artikel ni buat gempak, rasa takut pula.
Masih banyak yang perlu dipelajari. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Maaf salah silap. 

Syira bantu mana yang mampu. Syira dapat 4D masa SPM dah buat banyak hati kecewa.
Kalau nak tahu bagaimana caranya untuk bangkit selepas kejatuhan zaman SPM, nak tahu cara menghadapi temuduga untuk sambung pengajian dan nak tips supaya Allah limpahkan rezeki serta permudahkan urusan, korang boleh baca di blog Syira ni. Cuma kena rajin cari...hehe..nak berjaya perlu usaha dulu kan :P

Syira juga masih perlukan bantuan orang lain untuk teruskan hidup.
Terima kasih semua yang setia mendoakan. Semoga Allah limpahkan lebih banyak kebaikan buat kalian. Mohon doa-doa yang baik kekal berterusan.

Terima kasih team Kampus Uols ^_^
Nak baca artikel penuh boleh klik link ini : Syira Lokman & Kampus Uols

Thursday, July 19, 2018

Kehidupan sebagai Pelajar Kaunseling Tahun Akhir, Universiti Malaya.

Assalamualaikum
Hai semua !

Ramai yang minta Syira kongsikan tips belajar dan Syira belum sempat untuk menulis tips ni di blog walaupun dah 2 bulan cuti. Sebenarnya Syira akan ambil masa yang lama untuk menulis teruatamanya bila melibatkan kisah peribadi macam ni. Syira nak pastikan apa yang Syira kongsi sampai kepada pembaca dan tidak ada maklumat yang salah. Walaupun susah sangat Syira ni nak update blog, Syira tetap sayang blog ni sebab sehingga ke hari ini, blog ni banyak tolong Syira dan orang lain. (Blog masih Relevan)

Bagi yang selalu baca blog Syira, mesti korang perasan yang setiap tahun, dari tahun 1 hingga 3, Syira akan kongsikan kehidupan sebagai pelajar kaunseling Universiti Malaya. Kali ini Syira akan kongsikan pengalaman sebagai pelajar tahun akhir pula. Sebenarnya, perancangan asal nak kongsi selepas hari konvokesyen nanti, tapi macam lambat sangat la pula..sementara masih bercuti, rasanya lebih baik masa ini dimanfaatkan sebaiknya. Syira kongsi dulu sikit, nanti kalau ada yang perlu ditambah, Syira tambah ya :)

Untuk yang nak menghadapi peperiksaan dan yang nak mula sambung pengajian pun boleh ambil sedikit ilmu dan tips yang bakal Syira kongsikan ini. 


Image may contain: Wan Syahirah, smiling, indoor

Untuk pengetahuan semua, tempoh pengajian bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaya adalah selama 4 tahun atau 8 semester. Jadi, untuk entry kali ini Syira akan kongsikan kehidupan sebagai pelajar tahun akhir (semester 7 & 8) memandangkan semester 1 hingga 6 Syira dah kongsi dalam entry sebelum ini. 

Sepanjang semester tujuh, kami perlu menghadiri kelas dan menjalani praktikum. Kami perlu menyempurnakan jam sesi kaunseling dan pada masa yang sama berlari-lari jugalah nak siapkan tugasan lain. Masa ni la nak cari klien, nak sertai projek dan aktiviti fakulti, persatuan serta masa ni juga la siapkan tugasan demi menjaga pointer. Gelabah nak cari klien tu Allah je la tahu tapi alhamdulillah, Syira berjaya menyempurnakan jam sesi dan mendapat pointer 3.78 untuk keseluruhan semester 7 :D

Image may contain: flower, nature and text

Untuk semester 8 pula, kami hanya menjalani latihan praktikal atau lebih dikenali sebagai latihan profesional dan Syira telah menjalani latihan profesional di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Syira bertuah sangat sebab dapat penyelia akademik dan penyelia lapangan yang sangat baik. Pegawai-pegawai Psikologi serta rakan latihan profesional yang lain juga banyak beri kerjasama yang baik sepanjang hampir 4 bulan bersama mereka. Kalau nak diceritakan satu persatu memang tak akan habis. Syira belajar macam-macam sepanjang latihan profesional. Mengendalikan sesi kaunseling untuk kanak-kanak hingga dewasa bukanlah satu tugas yang mudah. Perkara yang paling seronok sepanjang latihan profesional ialah bila Syira berpeluang untuk mengendalikan sesi kaunseling dan buat aktiviti di beberapa institusi berbeza setiap hari antaranya Asrama Sentosa Kuala Lumpur, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras dan Asrama Bahagia Kuala Lumpur. Menjadi kaunselor pelatih terutamanya untuk klien juvana banyak membuka mata Syira. Syira cuba melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Kadang kala, kita (kaunselor) rasa kita sedang membantu mereka tentang hidup (klien) namun tanpa kita sedari kita sedang belajar sesuatu dari klien kita sendiri tentang apa sebenarnya makna hidup ini.

Image may contain: Wan Syahirah, smiling, text
Sepanjang semester 7 dan 8 ni, Syira juga masih menulis blog dan menyiapkan manuskrip untuk buku seterusnya. Buat yang masih tidak tahu, Syira telah menulis 2 buah buku motivasi umum dan korang boleh dapatkan buku Serenity & Fragile di mana-mana kedai buku seluruh Malaysia atau PM sahaja facebook/instagram Must Read/ Komradbuku. Syira tidak berkesempatan hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang lalu tapi jualan buku masih memberangsangkan. Terima kasih semua pembaca setia ^_^

No automatic alt text available.


No automatic alt text available.

Syira tamat latihan profesional pada 18 Mei dan 21 Mei pula merupakan hari pembentangan akhir. Ahamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan ini bermakna Syira dan kawan-kawan yang lain telah tamat pengajian dan hanya menunggu hari konvokesyen pada Oktober 2018 nanti.

Sepanjang cuti ni, Syira belum memohon kerja dan masih fokus menyiapkan manuskrip serta berkongsi cerita di blog kesayangan ni. Tapi, pada 9 Julai 2018 yang lalu, Syira mengikuti satu Program Jalinan Muhibbah Malaysia-Brunei. Cerita sepanjang program Syira akan kongsikan dalam blog ni nanti ya. Tu korang kena tunggu..hehehe.. Pada 9 Julai tu juga, keputusan peperiksaaan akhir dikeluarkan dan alhamdulillah Syira mendapat 4.00 untuk semester 8. Secara keseluruhannya, Syira bakal bergraduasi dengan pointer 3.76. Nikmatnya hanya Allah yang tahu. Saat menangis tepi Tasik Varsiti Universiti Malaya bakal dirindui..hehehe..


No automatic alt text available.

Ok, untuk menjawab semua soalan korang di facebook, blog dan instagram, hari ini Syira kongsi apa yang Syira amalkan dan ni juga korang boleh jadikan tips. Banyak yang boleh diamalkan tapi ni yang teringat masa menulis ni..hahaa.. 


1. Kenali cara belajar anda. 

Korang kena tahu dulu korang jenis mudah belajar secara individu atau kumpulan, tempat bising atau sunyi. Kalau macam Syira, Syira boleh belajar di bilik, walaupun katil tu memanggil-manggil. Syira tak boleh keadaan yang terlampau sunyi, perlu ada bunyi sedikit. Syira boleh belajar secara berkumpulan atau individu tapi Syira lebih suka secara individu sebab takut dalam kumpulan akan membawang pula..hehe.. Cuma bila dah dekat tarikh peperiksaan, Syira suka mengajar kawan-kawan. Tasik Varsiti Universiti Malaya tu la salah satu tempat kegemaran..haha..

2. Lepas tu, tengok waktu bila korang lebih mudah terima ilmu. 

Syira lebih suka belajar waktu pagi. Paling lewat pun Syira tidur jam 2 pagi. Syira mula tidur 2 pagi masa tahun 3 (buat tesis). Tahun 1,2,4 kebanyakkannya tidur 12 atau 1 pagi. Syira bukan jenis belajar atau buat tugasan lewat hingga 3,4 pagi. 3,4 pagi tu tidoooo la.
Bangun esok terlajak subuh haaa..apa pun tak dapat ! 

3. Buat nota ringkas.

Syira jenis lebih mudah menghafal kalau nota tu Syira tulis sendiri. Mestilah guna pen warna warni. Syira tak rajin sangat melukis atau buat peta minda cuma Syira akan pastikan nota yang nak digunakan sebelum hari peperiksaan tu adalah nota ringkas yang ditulis tangan. Tangan sendiri bukan tangan orang lain. Bagusnya bila tulis nota ringkas ni, kita akan lebih mudah faham dan hafal. Sebelum buat nota dah baca. Lepas tu tulis semula secara ringkas. Kemudian, baca kembali. Haaa..kan dah banyak kali ulang nota tu, sebab tu bagusnya kalau tulis. Kita akan lebih faham.

4. Sibuk macam mana pun, cuba hadir ke kelas dan fokus belajar.

Biasa la tu kalau tak ada mood, putus cinta, gaduh dengan kawan, penat, tidur lambat, sibuk sangat sampai kita akan cenderung ponteng kelas atau lebih lembut bahasanya TERponteng kelas. Syira pun alami perkara yang sama juga. Menangis meroyan tu biasa. Tapi jangan kerana hal-hal macam ni, kita jatuh sampai abaikan pelajaran. Cuti sebab sakit tak apa la. Sepanjang 4 tahun pengajian, Syira hanya tak hadir ke kelas paling banyak 2 kali dalam 1 semester. Hadir ke kelas juga satu tanda kita hormati pensyarah sebagai guru yang mengajar kita. Hargai masa mereka untuk mendidik kita. InsyaAllah, kita buat benda mudah ni pun, secara tidak langsung akan bantu permudahkan urusan kita sepanjang belajar.

Selalu orang kongsi jaga solat, baca Quran dan bahagikan masa untuk belajar. Syira tambah amalan lain yang Syira buat dan berkesan. Korang amalkan, InsyaAllah nampak hikmahnya :)

  1. Solat hajat setiap hari. Kalau ada hajat yang spesifik, doalah untuk hajat tu tapi kalau tiada, korang mohon Allah permudahkan urusan dan perjalanan hidup korang. Kalau rajin solat Dhuha lagi bagus. 
  2. Baca Yassin setiap hari. Sebelum baca niat dulu yang baik-baik (bebas). 
  3. Doa di sujud terakhir solat dan selepas solat.
  4. Jaga hubungan dengan manusia.
  5. Selalu berkongsi, sedekah. Tidak semestinya hanya tolong orang miskin atau bagi duit, sesiapa sahaja kita boleh tolong.. buat baik, beri bantuan. Jangan terlampau kedekut. Cuba niat setiap awal semester "hujung semester nanti aku nak kongsi/sedekah RM50 untuk kawan-kawan". Niat baik ni selalunya Allah permudahkan. InsyaAllah walaupun minggu akhir semester tu macam tak cukup je duit, mesti ada jalan Allah bagi korang untuk bantu orang lain. Cuba buat dulu. Niat awal-awal.
  6. Tuntut, amal dan kongsi ilmu. Ajarkan ilmu dan sebar ilmu yang baik-baik. Ajar kawan-kawan lain juga. Bila kita ajar orang lain, ilmu tu akan lebih mudah lekat dalam otak kita.
  7. Bangkit bila jatuh dan yakin dengan hikmah Allah.
  8. Sayangi diri dan hormati orang lain.
Cuba amalkan sikit-sikit dulu. Nanti siapa yang nampak kesan positif lepas buat tips-tips tu boleh kongsi dengan Syira ya ^_^

Image may contain: 1 person, smiling

4 tahun di Universiti Malaya.
4 tahun sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Banyak pengalaman pahit manis yang telah membuka mata dan menjadikan Syira insan yang kuat hari demi hari.
Terima kasih buat semua atas kepercayaan dan doa selama ini.
Terima kasih untuk Anugerah Khas Pengetua (Kolej Kediaman Pertama).
Terima kasih untuk Anugerah Khas Fakulti (Fakulti Pendidikan).
Terima kasih kerana mempercayai kebolehan Syira sebagai Yang DiPertua Persatuan Kaunseling Universiti Malaya.
Terima kasih team Surau Hunters (Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya).
Terima kasih juga buat team projek-projek kolej yang Syira sertai. Sertai 5/6 projek kolej setiap tahun dari tahun 1 hingga 3 memang memenatnya tapi pengalaman tu tidak akan Syira lupa sampai bila-bila.
Terima kasih juga buat rakan media yang baik hati kongsikan kisah Syira sebagai pelajar, penulis blog dan penulis buku.
Terima kasih buat semua yang selalu tolong walaupun sekecil-kecil pertolongan, Syira tetap hargai dan ingat sampai bila-bila.
Semoga korang dibalas dengan limpahan rezeki dari Allah :)


Kalau dibiarkan Syira menulis, memang takkan habis..hahaha..Buat masa sekarang, ini sahaja yang Syira mampu kongsikan. Mohon doakan yang baik-baik ya. Masih jauh perjalanan, masih cetek ilmu dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Masih jahil lagi dan Syira tetap perlukan bantuan orang lain untuk teruskan hidup. Semoga ada rezeki Syira untuk belajar lagi dan kongsi ilmu yang baik-baik dengan korang.
Terima kasih semua atas jasa baik korang selama ini. Kalau nak senaraikan nama satu persatu memang tak cukup 1 entry..hahaa.. 
Jika ada apa-apa pertanyaan, nak minta tips or teguran boleh hubungi Syira melalui link di bawah :


Emel : syiralokman21@yahoo.com.my


## Maaf jika ada salah silap, mohon tegur Syira :) Kalau nak share tips pun boleh. Syira masih banyak benda perlu diperbaiki. Jumpa di next entry ! 

Entry berkaitan :

Tuesday, July 3, 2018

RESEPI : Kuetiau Goreng Kerang bersama Udang.

Assalamualaikum
hai semua !


Jom cuba masak Kuetiau Goreng Kerang bersama Udang ni. Resepi mudah dan cepat :D



BAHAN-BAHAN :
1 paket kuetiau- dileraikan terlebih dahulu
udang - buang kulit
isi kerang
1 ikat kucai
50 gram taugeh 

Bahan kisar:5 ulas bawang putih
2 biji bawang merah besar
1 senduk cili kering (celur dahulu dan kisar)

Bahan Sos:4 sudu sos tiram
4 sudu kicap manis
2 sudu kicap sos cili
2 sudu sos tomato
garam dan gula secukup rasa


CARA-CARA :
  1. Dalam kuali panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
  2. Kemudian, masukkan semua bahan sos dan gaul rata. 
  3. Masukkan kuetiaw, udang dan kerang.
  4. Selepas semua bahan rata,  masukkan pula kucai dan taugeh.
  5. Kemudian, kacau lagi. Tambah garam sedikit dan gula jika perlu.


# Untuk resepi ni udang serta kerang boleh digantikan dengan ayam, daging atau sotong. Jika nak tambah telur pun boleh :)

Selamat Mencuba !

Monday, July 2, 2018

RESEPI : Ikan Pari Air Asam

Assalamualaikum
hai semua !

Raya ni kalau hari-hari makan rendang, lemang, ketupat pun bosan kan...mesti nak makan nasi juga..perut melayu gini le..ahhahaa..Sepanjang Syira cuti ni, Syira banyak masak di rumah tapi belum sempat nak kongsi semua resepi. InsyaAllah Syira akan kongsi sikit-sikit ya :)

Hari ni Syira nak kongsi dulu satu resepi kegemaran Syira.
Ikan Pari Air Asam yang sangat mudah tapi rasanya akan buat korang tambah nasi 5 kali :D

Image may contain: food

Bahan-bahan :

seekor ikan pari dipotong kecil (ikut la saiz ikan juga, jangan potong kecil sangat, bahagia 2 pun ok)
7 biji cili padi - ditumbuk
1 biji bawang besar - ditumbuk
belacan - dibakar terlebih dahulu dan ditumbuk bersama cili serta bawang.
1 biji tomato - dipotong dadu
2 sudu besar air asam jawa
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kerisik
2 biji limau kasturi
2 keping asam keping
Garam & gula

Cara-cara :


  1. Rebus ikan bersama asam keping, secubit garam dan sedikit air.
  2. Apabila ikan sudah lembut, angkat ikan dan ketepikan.
  3. Masukkan bahan tumbuk ke dalam mangkuk. 
  4. Masukkan air asam jawa, sos cili, sos tomato, kerisik, tomato ke dalam mangkuk.
  5. Perahkan 2 biji limau kasturi.
  6. Tambah garam & gula secukup rasa.
  7. Sesuaikan rasa & kepekatan kuah yang diingini. (boleh tambah air jika perlu)
  8. Gaul rata dan masukkan ikan pari tadi.
  9. Sedia untuk dihidang.