Assalamualaikum
Hai semua !
Ramai yang minta Syira kongsikan tips belajar dan Syira belum sempat untuk menulis tips ni di blog walaupun dah 2 bulan cuti. Sebenarnya Syira akan ambil masa yang lama untuk menulis teruatamanya bila melibatkan kisah peribadi macam ni. Syira nak pastikan apa yang Syira kongsi sampai kepada pembaca dan tidak ada maklumat yang salah. Walaupun susah sangat Syira ni nak update blog, Syira tetap sayang blog ni sebab sehingga ke hari ini, blog ni banyak tolong Syira dan orang lain. (Blog masih Relevan)
Bagi yang selalu baca blog Syira, mesti korang perasan yang setiap tahun, dari tahun 1 hingga 3, Syira akan kongsikan kehidupan sebagai pelajar kaunseling Universiti Malaya. Kali ini Syira akan kongsikan pengalaman sebagai pelajar tahun akhir pula. Sebenarnya, perancangan asal nak kongsi selepas hari konvokesyen nanti, tapi macam lambat sangat la pula..sementara masih bercuti, rasanya lebih baik masa ini dimanfaatkan sebaiknya. Syira kongsi dulu sikit, nanti kalau ada yang perlu ditambah, Syira tambah ya :)
Untuk yang nak menghadapi peperiksaan dan yang nak mula sambung pengajian pun boleh ambil sedikit ilmu dan tips yang bakal Syira kongsikan ini.
Untuk pengetahuan semua, tempoh pengajian bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaya adalah selama 4 tahun atau 8 semester. Jadi, untuk entry kali ini Syira akan kongsikan kehidupan sebagai pelajar tahun akhir (semester 7 & 8) memandangkan semester 1 hingga 6 Syira dah kongsi dalam entry sebelum ini.
Sepanjang semester tujuh, kami perlu menghadiri kelas dan menjalani praktikum. Kami perlu menyempurnakan jam sesi kaunseling dan pada masa yang sama berlari-lari jugalah nak siapkan tugasan lain. Masa ni la nak cari klien, nak sertai projek dan aktiviti fakulti, persatuan serta masa ni juga la siapkan tugasan demi menjaga pointer. Gelabah nak cari klien tu Allah je la tahu tapi alhamdulillah, Syira berjaya menyempurnakan jam sesi dan mendapat pointer 3.78 untuk keseluruhan semester 7 :D
Untuk semester 8 pula, kami hanya menjalani latihan praktikal atau lebih dikenali sebagai latihan profesional dan Syira telah menjalani latihan profesional di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Syira bertuah sangat sebab dapat penyelia akademik dan penyelia lapangan yang sangat baik. Pegawai-pegawai Psikologi serta rakan latihan profesional yang lain juga banyak beri kerjasama yang baik sepanjang hampir 4 bulan bersama mereka. Kalau nak diceritakan satu persatu memang tak akan habis. Syira belajar macam-macam sepanjang latihan profesional. Mengendalikan sesi kaunseling untuk kanak-kanak hingga dewasa bukanlah satu tugas yang mudah. Perkara yang paling seronok sepanjang latihan profesional ialah bila Syira berpeluang untuk mengendalikan sesi kaunseling dan buat aktiviti di beberapa institusi berbeza setiap hari antaranya Asrama Sentosa Kuala Lumpur, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras dan Asrama Bahagia Kuala Lumpur. Menjadi kaunselor pelatih terutamanya untuk klien juvana banyak membuka mata Syira. Syira cuba melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Kadang kala, kita (kaunselor) rasa kita sedang membantu mereka tentang hidup (klien) namun tanpa kita sedari kita sedang belajar sesuatu dari klien kita sendiri tentang apa sebenarnya makna hidup ini.
Sepanjang semester 7 dan 8 ni, Syira juga masih menulis blog dan menyiapkan manuskrip untuk buku seterusnya. Buat yang masih tidak tahu, Syira telah menulis 2 buah buku motivasi umum dan korang boleh dapatkan buku Serenity & Fragile di mana-mana kedai buku seluruh Malaysia atau PM sahaja facebook/instagram Must Read/ Komradbuku. Syira tidak berkesempatan hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang lalu tapi jualan buku masih memberangsangkan. Terima kasih semua pembaca setia ^_^
Syira tamat latihan profesional pada 18 Mei dan 21 Mei pula merupakan hari pembentangan akhir. Ahamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan ini bermakna Syira dan kawan-kawan yang lain telah tamat pengajian dan hanya menunggu hari konvokesyen pada Oktober 2018 nanti.
Sepanjang cuti ni, Syira belum memohon kerja dan masih fokus menyiapkan manuskrip serta berkongsi cerita di blog kesayangan ni. Tapi, pada 9 Julai 2018 yang lalu, Syira mengikuti satu Program Jalinan Muhibbah Malaysia-Brunei. Cerita sepanjang program Syira akan kongsikan dalam blog ni nanti ya. Tu korang kena tunggu..hehehe.. Pada 9 Julai tu juga, keputusan peperiksaaan akhir dikeluarkan dan alhamdulillah Syira mendapat 4.00 untuk semester 8. Secara keseluruhannya, Syira bakal bergraduasi dengan pointer 3.76. Nikmatnya hanya Allah yang tahu. Saat menangis tepi Tasik Varsiti Universiti Malaya bakal dirindui..hehehe..
Ok, untuk menjawab semua soalan korang di facebook, blog dan instagram, hari ini Syira kongsi apa yang Syira amalkan dan ni juga korang boleh jadikan tips. Banyak yang boleh diamalkan tapi ni yang teringat masa menulis ni..hahaa..
1. Kenali cara belajar anda.
Korang kena tahu dulu korang jenis mudah belajar secara individu atau kumpulan, tempat bising atau sunyi. Kalau macam Syira, Syira boleh belajar di bilik, walaupun katil tu memanggil-manggil. Syira tak boleh keadaan yang terlampau sunyi, perlu ada bunyi sedikit. Syira boleh belajar secara berkumpulan atau individu tapi Syira lebih suka secara individu sebab takut dalam kumpulan akan membawang pula..hehe.. Cuma bila dah dekat tarikh peperiksaan, Syira suka mengajar kawan-kawan. Tasik Varsiti Universiti Malaya tu la salah satu tempat kegemaran..haha..
2. Lepas tu, tengok waktu bila korang lebih mudah terima ilmu.
Syira lebih suka belajar waktu pagi. Paling lewat pun Syira tidur jam 2 pagi. Syira mula tidur 2 pagi masa tahun 3 (buat tesis). Tahun 1,2,4 kebanyakkannya tidur 12 atau 1 pagi. Syira bukan jenis belajar atau buat tugasan lewat hingga 3,4 pagi. 3,4 pagi tu tidoooo la.
Bangun esok terlajak subuh haaa..apa pun tak dapat !
3. Buat nota ringkas.
Syira jenis lebih mudah menghafal kalau nota tu Syira tulis sendiri. Mestilah guna pen warna warni. Syira tak rajin sangat melukis atau buat peta minda cuma Syira akan pastikan nota yang nak digunakan sebelum hari peperiksaan tu adalah nota ringkas yang ditulis tangan. Tangan sendiri bukan tangan orang lain. Bagusnya bila tulis nota ringkas ni, kita akan lebih mudah faham dan hafal. Sebelum buat nota dah baca. Lepas tu tulis semula secara ringkas. Kemudian, baca kembali. Haaa..kan dah banyak kali ulang nota tu, sebab tu bagusnya kalau tulis. Kita akan lebih faham.
4. Sibuk macam mana pun, cuba hadir ke kelas dan fokus belajar.
Biasa la tu kalau tak ada mood, putus cinta, gaduh dengan kawan, penat, tidur lambat, sibuk sangat sampai kita akan cenderung ponteng kelas atau lebih lembut bahasanya TERponteng kelas. Syira pun alami perkara yang sama juga. Menangis meroyan tu biasa. Tapi jangan kerana hal-hal macam ni, kita jatuh sampai abaikan pelajaran. Cuti sebab sakit tak apa la. Sepanjang 4 tahun pengajian, Syira hanya tak hadir ke kelas paling banyak 2 kali dalam 1 semester. Hadir ke kelas juga satu tanda kita hormati pensyarah sebagai guru yang mengajar kita. Hargai masa mereka untuk mendidik kita. InsyaAllah, kita buat benda mudah ni pun, secara tidak langsung akan bantu permudahkan urusan kita sepanjang belajar.
Selalu orang kongsi jaga solat, baca Quran dan bahagikan masa untuk belajar. Syira tambah amalan lain yang Syira buat dan berkesan. Korang amalkan, InsyaAllah nampak hikmahnya :)
- Solat hajat setiap hari. Kalau ada hajat yang spesifik, doalah untuk hajat tu tapi kalau tiada, korang mohon Allah permudahkan urusan dan perjalanan hidup korang. Kalau rajin solat Dhuha lagi bagus.
- Baca Yassin setiap hari. Sebelum baca niat dulu yang baik-baik (bebas).
- Doa di sujud terakhir solat dan selepas solat.
- Jaga hubungan dengan manusia.
- Selalu berkongsi, sedekah. Tidak semestinya hanya tolong orang miskin atau bagi duit, sesiapa sahaja kita boleh tolong.. buat baik, beri bantuan. Jangan terlampau kedekut. Cuba niat setiap awal semester "hujung semester nanti aku nak kongsi/sedekah RM50 untuk kawan-kawan". Niat baik ni selalunya Allah permudahkan. InsyaAllah walaupun minggu akhir semester tu macam tak cukup je duit, mesti ada jalan Allah bagi korang untuk bantu orang lain. Cuba buat dulu. Niat awal-awal.
- Tuntut, amal dan kongsi ilmu. Ajarkan ilmu dan sebar ilmu yang baik-baik. Ajar kawan-kawan lain juga. Bila kita ajar orang lain, ilmu tu akan lebih mudah lekat dalam otak kita.
- Bangkit bila jatuh dan yakin dengan hikmah Allah.
- Sayangi diri dan hormati orang lain.
Cuba amalkan sikit-sikit dulu. Nanti siapa yang nampak kesan positif lepas buat tips-tips tu boleh kongsi dengan Syira ya ^_^
4 tahun di Universiti Malaya.
4 tahun sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Banyak pengalaman pahit manis yang telah membuka mata dan menjadikan Syira insan yang kuat hari demi hari.
Terima kasih buat semua atas kepercayaan dan doa selama ini.
Terima kasih untuk Anugerah Khas Pengetua (Kolej Kediaman Pertama).
Terima kasih untuk Anugerah Khas Fakulti (Fakulti Pendidikan).
Terima kasih kerana mempercayai kebolehan Syira sebagai Yang DiPertua Persatuan Kaunseling Universiti Malaya.
Terima kasih team Surau Hunters (Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya).
Terima kasih juga buat team projek-projek kolej yang Syira sertai. Sertai 5/6 projek kolej setiap tahun dari tahun 1 hingga 3 memang memenatnya tapi pengalaman tu tidak akan Syira lupa sampai bila-bila.
Terima kasih juga buat rakan media yang baik hati kongsikan kisah Syira sebagai pelajar, penulis blog dan penulis buku.
Terima kasih buat semua yang selalu tolong walaupun sekecil-kecil pertolongan, Syira tetap hargai dan ingat sampai bila-bila.
Semoga korang dibalas dengan limpahan rezeki dari Allah :)
Kalau dibiarkan Syira menulis, memang takkan habis..hahaha..Buat masa sekarang, ini sahaja yang Syira mampu kongsikan. Mohon doakan yang baik-baik ya. Masih jauh perjalanan, masih cetek ilmu dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Masih jahil lagi dan Syira tetap perlukan bantuan orang lain untuk teruskan hidup. Semoga ada rezeki Syira untuk belajar lagi dan kongsi ilmu yang baik-baik dengan korang.
Terima kasih semua atas jasa baik korang selama ini. Kalau nak senaraikan nama satu persatu memang tak cukup 1 entry..hahaa..
Jika ada apa-apa pertanyaan, nak minta tips or teguran boleh hubungi Syira melalui link di bawah :
Emel : syiralokman21@yahoo.com.my
Facebook : https://www.facebook.com/wan.syahirah.75
Instagram : https://instagram.com/syira_lokman/
Twitter : https://twitter.com/SyiraLokman
## Maaf jika ada salah silap, mohon tegur Syira :) Kalau nak share tips pun boleh. Syira masih banyak benda perlu diperbaiki. Jumpa di next entry !
Entry berkaitan :
No comments:
Post a Comment